Sheikh Abdul Basit qari tersohor

oleh Khairul Anuar Mohamad, Utusan Malaysia, 17/08/2011

“Tokoh seni lagu Quran ini memang terkenal di seantero dunia Islam. Beliau amat berpengaruh di kalangan pembaca al-Quran era selepasnya. Rakaman 30 juzuk al-Quran masih lagi dialunkan. Individu yang dimaksudkan ialah Sheikh Abdul Basit Abdul Samad.

Anak kelahiran Mesir pada tahun 1927 mendapat pendidikan al-Quran dan berjaya menghafalnya pada usia 10 tahun melalui gurunya Sheikh Amer.

Bakat dan kepintaran Sheikh Abdul Basit menarik perhatian Sheikh Amer. Dalam sesi pengajarannya, Sheikh Amer amat mengambil berat tentang makhraj huruf, waqf ibtida dan alunan suara yang bersesuaian dengan ayat. Mengikut firasatnya, Sheikh Abdul Basit mempunyai masa depan yang gemilang bersama al-Quran.

Bagi melengkapkan lagi ilmu al-Quran, Sheikh Abdul Basit mengikuti kelas tajwid, qiraat dan ulum al-Quran daripada Sheikh Muhammad Salem Hamadah.

Semasa talaqqi qiraat, beliau telah menghafaz Matn Syatibiyyah. Hobinya membaca al-Quran secara tarannum di sepanjang hari telah menjadikan beliau terkenal di kampungnya.

Banyak pihak meminta Syeikh Abdul Basit membaca al-Quran dalam majlis. Namanya melonjak naik di kalangan masyarakat dan terkenal dengan cepat.

Pada tahun 1950, Sheikh Abdul Basit menghadiri satu majlis di Kaherah yang dihadiri Qurra terkenal seperti Sheikh Abdul Fattah Sha’sha’, Sheikh Mustafa Ismail, Sheikh Abdul Azeem Zahir di Masjid Sayyidah Nafesah.

Kesemua Qurra ini adalah idola Sheikh Abdul Basit. Setelah beberapa ketika, saudaranya meminta penganjur memberi masa 10 minit kepada Sheikh Abdul Basit memperdengarkan bacaannya.

Ruang solat di Masjid Sayyidah Nafesah penuh sesak dengan pendengar yang setia menunggu bacaan qari yang terkenal. Selepas mendapat keizinan, Sheikh Abdul Basit mula mengalunkan bacaan surah al-Ahzab dengan suaranya yang lunak dan menarik.

Minit-minit awalnya, seluruh pendengar senyap sunyi dengan memberi perhatian kepada bacaannya. Beberapa ketika, kesunyian bertukar dengar laungan takbir dan doa untuk beliau.

Masa yang diberi kepadanya yang pada awalnya 10 minit dilanjutkan.

Ekoran itu, nama Sheikh Abdul Basit terkenal di Mesir. Kehebatan suaranya membaca al-Quran mendapat tawaran Radio Mesir melalui keizinan guru al-Quran terkenal ketika itu Sheikh Ali Dabba’. Pengaruhnya amat kuat, sehingga diceritakan ramai yang mula membeli radio semata-mata hendak mendengar bacaan Sheikh Abdul Basit.

Sheikh Abdul Basit menjadi qari rasmi di Masjid Imam Syafie selama 15 tahun. Kemudian berpindah ke Masjid Husein ekoran kematian qarinya Sheikh Mahmud Ali al-Banna.

Beliau bertugas di Masjid Husein selama tiga tahun dan bacaan terakhirnya adalah pada 18 November 1988.

Antara jutaan peminatnya adalah Sheikh Mahmud Sayyid Tantawi iaitu bekas Sheikh al-Azhar.

Menceritakan hubungan dan kekagumannya terhadap Sheikh Abdul Basit, Tantawi berkata: “Semasa saya masih lagi pelajar, saya selalu bersama radio pada hari sabtu untuk mendengar bacaan Sheikh Abdul Basit. Dan hari tersebut dianggap sebagai ‘hari raya’ bagi kami.

“Kemudian Allah SWT mentakdirkan kami menjadi sahabat dan beliau seorang yang mempunyai banyak maklumat. Secara jelasnya beliau guru yang hebat dalam tajwid dan makhraj, raut wajahnya ceria, suka kepada kebajikan dan memiliki karakter yang menarik.”

Selepas menjadi khadam al-Quran dan berkhidmat untuknya, Sheikh Abdul Basit meninggal dunia pada 30 November 1988 pada usia 62 tahun.”

Share via
Copy link
Powered by Social Snap